PIDM lancar Rancangan Korporat 2020 - 2022

30/01/2020
PIDM lancar Rancangan Korporat 2020 - 2022

Kuala Lumpur, 31 Januari 2020: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menerbitkan ‘Ringkasan Rancangan Korporat 2020 - 2022’.


Rancangan Korporat PIDM bagi tempoh tiga tahun akan datang sejajar dengan keutamaan strategik jangka panjangnya, iaitu:

  • perancangan resolusi dan kesediaan intervensi dan resolusi kegagalan; 
  • mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan pemegang kepentingan; dan
  • membangunkan tenaga kerjanya untuk tujuan kemampanan dan pertumbuhan.

Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, berkata, PIDM sentiasa berusaha  menambah baik sistem dan proses pembayaran balik dalam inisiatifnya ke arah membina keyakinan orang ramai. 


“Bagi tempoh perancangan ini, kami merancang untuk menyempurnakan inisiatif kami dalam memberikan pilihan pembayaran balik yang lain kepada pendeposit sekiranya terdapat keperluan dengan memanfaatkan keupayaan teknologi dan mekanisme pembayaran elektronik yang tersedia ada.” 


Perancangan resolusi, yang bertujuan meningkatkan ketahanan sistem kewangan, merupakan satu lagi aspek utama kesediaan bagi PIDM. Sebagai contoh, perancangan resolusi melibatkan aktiviti-aktiviti seperti mendapatkan maklumat daripada institusi ahli dan mengenal pasti fungsi kritikal mereka kepada pasaran kewangan dan ekonomi sebenar.  Dengan cara ini, PIDM dan anggota jaringan keselamatan lain akan berada di kedudukan yang lebih baik untuk bertindak semasa krisis. 


“Keterlibatan berterusan dengan bank-bank ahli PIDM  sedang dijalankan demi kesediaan mereka untuk pelancaran perancangan resolusi secara berfasa. Ia dijangka bermula selepas tahun 2022,” kata Rafiz.


Kesedaran awam tentang PIDM dan sistem perlindungannya adalah penting dalam mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan terhadap sistem kewangan. Oleh itu, PIDM akan terus melaksanakan inisiatif perhubungan awam dan kempen media sosial untuk mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap sistem perlindungan PIDM.


PIDM adalah sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit serta manfaat insurans dan takaful daripada institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. Institusi ahli PIDM dikenakan bayaran premium dan levi dan bayaran ini disimpan di dalam dana perlindungan yang ditadbir oleh PIDM. Dana ini akan digunakan untuk pembayaran balik kepada pendeposit atau membuat pembayaran terhadap tuntutan manfaat takaful dan insurans yang layak sekiranya berlaku kegagalan institusi ahli PIDM.


Bagi tahun 2020, PIDM menganggarkan akan menerima pendapatan sebanyak RM642 juta dan perbelanjaan operasi sebanyak RM105 juta dengan lebihan bersih diunjurkan sebanyak RM536 juta. Perbelanjaan operasi akan menyokong keutamaan strategik PIDM bagi tahun 2020.


Ringkasan Rancangan Korporat 2020 - 2022 boleh didapati di laman web PIDM (www.pidm.gov.my) dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Yogendra Thavakumar, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455 samb 7455; Emel: [email protected])    

Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam 
(Tel: 016-3643406; Emel: [email protected])


MENGENAI PIDM 
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kerugian deposit dan manfaat insurans atau takaful dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan.  PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia memiliki kaedah-kaedah di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana tersebut yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.  
 


Bagi maklumat lanjut: