PIDM adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM). Dalam memenuhi mandat kami sebagai pihak berkuasa perlindungan konsumer kewangan dan juga pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahli, PIDM melindungi konsumer kewangan di Malaysia dengan:
How PIDM Protects Financial Consumers
PIDM melindungi deposit serta manfaat takaful dan insurans sekiranya sesebuah institusi ahli gagal. Perlindungan disediakan secara automatik dan tiada bayaran dikenakan untuk deposit yang layak sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli serta manfaat takaful dan insurans yang layak sehingga RM500,000 bagi setiap pemilik polisi di setiap ahli penginsurans. Had perlindungan ini juga memastikan bahawa sekurang-kurangnya 97% pendeposit dan pemilik polisi dilindungi sepenuhnya.
PIDM melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran awam bagi memastikan consumer kewangan mengetahui kewujudan sistem perlindungan kami serta memahami manfaat dan hadnya untuk memberikan kefahaman yang jelas dan mempunyai keyakinan terhadap sistem perlindungan kewangan ini, justeru dapat mengurangkan risiko berlakunya bank run terhadap institusi ahli.s.
PIDM menggalakkan pengurusan risiko yang mantap dengan mentadbir rangka kerja premium dan levi, rangka kerja Sistem Premium Berbeza untuk bank-bank ahli, rangka kerja Sistem Levi Berbeza untuk syarikat insurans dan rangka kerja Sistem Levi Berbeza bagi pengendali takaful. Bayaran ini ditentukan berdasarkan profil risiko setiap institusi ahli. Premium dan levi dibayar oleh institusi ahli terlebih dahulu semasa operasi perniagaan seperti biasa bagi memastikan dana tersedia ketika resolusi institusi ahli.
Sebagai pihak berkuasa resolusi, peranan utama PIDM adalah untuk menangani kegagalan institusi ahli dengan segera dan efektif untuk mengurangkan gangguan kepada konsumer kewangan, memelihara kestabilan sistem kewangan, serta mengelakkan krisis ekonomi meluas. Kesediaan PIDM melibatkan pembangunan rangka kerja resolusi yang kukuh yang merangkumi dasar, infrastruktur dan keupayaan operasi bagi memastikan pelaksanaan resolusi yang segera dan teratur. Sistem pembayaran balik yang bersepadu turut menjadi sebahagian daripada rangka kerja ini untuk memastikan pendeposit mendapat akses segera kepada simpanan mereka sekiranya berlaku kegagalan dan penutupan bank perancangan resolusi bank ahli PIDM juga merupakan komponen penting dalam memastikan sokongan bank ahli kepada PIDM dalam resolusi.
Bagi memastikan pengurusan resolusi dan krisis yang lebih berkesan, PIDM bekerjasama rapat dengan peserta jaringan keselamatan kewangan, termasuk BNM dan Kementerian Kewangan dengan membangunkan rangka kerja antara agensi. Usaha ini merangkumi penyediaan interagency crisis preparedness binder yang memberikan garis panduan jelas mengenai langkah-langkah tindak balas terhadap krisis, yang kemudiannya diuji melalui latihan simulasi bersama. Di peringkat antarabangsa, PIDM berkolaborasi dengan pihak berkuasa resolusi luar negara bagi memudahkan kerjasama rentas sempadan dalam pengurusan krisis dan resolusi. Ini termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman bagi memperkukuh penyelarasan resolusi rentas sempadan serta penglibatan dalam mesyuarat kumpulan pengurusan krisis (crisis management groups – CMGs) institusi ahli. PIDM juga menyertai latihan simulasi krisis di peringkat serantau untuk meningkatkan persediaan serta menguji daya tahan rangka kerja sedia ada.