PIDM Anjur Simposium Resolusi Kebangsaan untuk Memupuk Daya Tahan Industri Kewangan dan Penyelarasan Krisis

26/08/2025
PIDM Anjur Simposium Resolusi Kebangsaan untuk Memupuk Daya Tahan Industri Kewangan dan Penyelarasan Krisis

Pakar berbincang mengenai pengukuhan perancangan resolusi dan strategi untuk menggalakkan daya tahan sistem kewangan

Kuala Lumpur, 26 Ogos 2025: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sekali lagi menganjurkan Simposium Resolusi Kebangsaan (National Resolution Symposium – NRS) yang terus menjadi wadah penting bagi menerajui pemikiran serta kerjasama bermakna dalam memperkukuh kesediaan krisis dan daya tahan sistem kewangan.
 
Bertemakan ‘Precaution Over Reaction: Harvesting Readiness in an Uncertain World, simposium ini dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang turut menyampaikan ucaptama. Hampir 500 peserta menghadiri simposium anjuran PIDM yang ketiga ini, termasuk pemimpin kanan institusi kewangan tempatan, pengawal selia serantau serta pakar antarabangsa dalam bidang resolusi dan pengurusan krisis.
 
“Perancangan resolusi bukanlah tentang meramalkan krisis seterusnya. Ia menekankan kepentingan persediaan awal untuk memastikan apabila krisis berlaku, kami boleh bertindak dengan pantas dan yakin,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, PIDM.
 
“Sebagai pihak berkuasa resolusi kepada institusi ahli kami, PIDM bertanggungjawab memastikan resolusi institusi ahli dilaksanakan secara teratur dengan gangguan yang minimum kepada orang awam dan sistem kewangan. Simposium ini berperanan penting dalam usaha menghimpunkan pelbagai pandangan – dari sektor awam dan swasta, tempatan dan antarabangsa – untuk mencabar andaian sedia ada, memperkukuh rangka kerja resolusi, dan meningkatkan daya tahan sistem kewangan bagi menghadapi kejutan pada masa hadapan,” tambah Rafiz.
 
PIDM dan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama telah membangunkan Rangka Kerja Perancangan Pemulihan dan Resolusi (Recovery and Resolution Planning – RRP) bagi memperkukuh kesediaan krisis serta daya tahan institusi kewangan di Malaysia. Perancangan pemulihan, yang diterajui oleh BNM, adalah untuk memastikan institusi kewangan mampu bertindak balas terhadap tekanan kewangan dan mengembalikan daya maju. Manakala perancangan resolusi, yang diterajui oleh PIDM, adalah untuk memastikan institusi kewangan dapat diselesaikan dengan cepat dan efektif, sekali gus mengekalkan keyakinan orang ramai serta meminimumkan gangguan kepada sistem kewangan.
 
Melalui sesi panel, masterclass dan juga meja bulat, peserta membincangkan bagaimana pengawal selia serta institusi kewangan boleh bekerjasama bagi melindungi kestabilan kewangan serta mengurangkan gangguan apabila krisis melanda.
 
Orang ramai yang ingin mengetahui bagaimana kegagalan institusi kewangan ditangani di peringkat global – termasuk resolusi Silicon Valley Bank di Amerika Syarikat – boleh merujuk e-buku PIDM yang memaparkan 25 kajian kes antarabangsa.
 
PIDM juga mengumumkan penerbitan Laporan Tahunan 2024 di NRS, yang menampilkan gambaran jelas tentang prestasi, strategi dan pencapaian PIDM sepanjang tahun lalu.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai peranan PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi Malaysia dan usaha berterusan dalam mengekalkan kestabilan kewangan negara, sila layari www.pidm.gov.my.