Cabaran FinFit PIDM telah kembali!

27/09/2023
Cabaran FinFit PIDM telah kembali!

Bersedia untuk mendapat ganjaran melalui perkongsian tabiat kewangan baik anda


Kuala Lumpur, 27 September 2023: Cabaran FinFit (FinancialFitness) Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) kini kembali! Cabaran harian selama 21 hari ini bertujuan memupuk tabiat kewangan positif dalam kalangan peserta. Ianya mula diperkenalkan pada tahun 2021 melalui kumpulan Facebook PIDM FinFit Challenge yang telah menarik lebih 3,000 peserta berdaftar.
 
Cabaran FinFit 2023 akan bermula 1 Oktober bersempena dengan Bulan Celik Kewangan Kebangsaan (Financial Literacy Month – FLM), iaitu inisiatif tahunan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network – FEN) bagi menyediakan sokongan pendidikan kewangan dan intervensi dalam membimbing rakyat Malaysia ke arah kesejahteraan kewangan.
 
“Keakraban dan semangat keazaman yang dikongsi peserta dari cabaran-cabaran lepas sangat berinspirasi. Mereka membentuk komuniti yang saling menyokong dan menggalakkan satu sama lain untuk mengamalkan pengurusan kewangan baik yang mampan. PIDM berhasrat dan berharap agar sikap dan nilai-nilai tersebut dapat diteruskan dalam Cabaran FinFit 2023 dalam membentuk komuniti yang saling menyokong dan berazam untuk mengamalkan tabiat kewangan positif,” kata Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi, Naib Presiden Eksekutif, PIDM.
 
Cabaran FinFit PIDM akan membawakan siri cabaran harian yang mudah bagi menekankan mesej bahawa setiap usaha walau sekecil mana, apabila dilaksanakan secara konsisten, boleh mengubah tabiat kewangan seseorang menjadi lebih baik secara beransur-ansur.
 
Cabaran ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Para peserta mesti mengikuti akaun Instagram Chief BerUang (@chief.beruang) dan FEN (@myfenetwork), tangkap dan muat naik gambar atau video ke Instagram sebagai penyertaan berserta tanda pagar #FinFit2023. Peserta juga perlu menetapkan profil Instagram kepada status ‘Awam’ untuk membolehkan penyertaan mereka diadili, dan melengkapkan sekurang-kurangnya 10 cabaran harian untuk layak ke pusingan ‘Kuiz Kilat’ pada 22 Oktober. 100 peserta dengan markah terbanyak daripada 'Kuiz Kilat' akan bersaing dalam cabaran akhir iaitu 'Pentas Akhir FinFit' pada 28 Oktober.
 
Hadiah-hadiah menarik seperti sebuah iPhone 15 Plus 256GB, sebuah MacBook Air 13” 256GB, sebuah iPad Air 128 GB dan 30 baucar beli-belah Lazada bernilai RM50 menanti para pemenang.
 
Orang ramai juga boleh bertemu dengan Chief BerUang, ikon pengurusan kewangan baik PIDM di reruai PIDM sekitar pavilion FEN semasa acara Minggu Saham Amanah Malaysia di Setia Fontaines, Bertam, Pulau Pinang pada 30 September hingga 2 Oktober.
 
PIDM menyokong inisiatif literasi kewangan yang bertujuan untuk membangunkan masyarakat yang celik dan berdaya tahan kewangan melalui kempen-kempen kesedaran dan pendidikan kewangannya. PIDM merupakan salah satu ahli pengasas FEN dan bekerjasama rapat dengan ahli-ahli lain bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan untuk menggalakkan tabiat kewangan positif serta sikap bertanggungjawab.
 
Untuk maklumat lanjut tentang Cabaran FinFit 2023, lawati lama mikro Sedia Payung Kewangan PIDM. Peraturan peraduan serta Terma dan Syarat penuh boleh didapati di https://www.pidm.gov.my/finfit2023tnc.

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.