
Meneruskan perbincangan perancangan resolusi bersama peserta industri kewangan Malaysia
Kuala Lumpur, 23 September 2024: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sekali lagi menganjurkan Simposium Resolusi Kebangsaan (National Resolution Symposium – NRS) yang menghimpunkan pakar-pakar, penceramah, peserta dalam negara dan antarabangsa untuk meneruskan perbincangan mengenai kaedah menangani atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan dalam keadaan yang penuh ketidakpastian. Simposium tersebut dihadiri hampir 450 peserta, termasuk pemimpin pengurusan kanan dari institusi-institusi kewangan Malaysia.
Dengan tema ‘Building Collaborative Resolvability: From Policy to Practice’ (Membangunkan Kebolehselesaian Secara Kolaboratif: Menerapkan Dasar Kepada Amalan), NRS pada tahun ini menumpukan perbincangan kepada pelaksanaan praktikal persediaan krisis dan bagaimana pihak berkepentingan seperti peserta jaringan keselamatan kewangan, institusi kewangan, pengamal Syariah, firma profesional serta pihak media boleh bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan resolusi secara teratur ketika berlaku kegagalan institusi ahli.
“PIDM memandang persediaan krisis sebagai operasi berterusan dan bukan sekadar tindak balas apabila berlakunya kecemasan. Perancangan resolusi yang dilaksanakan lebih awal dapat membangunkan keupayaan sewaktu institusi ahli masih beroperasi seperti biasa untuk menyokong resolusi yang efektif dan merupakan pendekatan yang mampu mempertingkatkan daya tahan mereka,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
“NRS mengukuhkan komitmen kami bagi memastikan institusi ahli PIDM sentiasa bersedia dan boleh diselesaikan (resolvable) untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang. Kami berhasrat untuk memupuk kerjasama dan menyediakan platform bagi pertukaran pandangan untuk menyokong resolusi yang efektif demi mengekalkan kestabilan sistem kewangan,” tambah Rafiz.
Tahun lalu, PIDM telah menerbitkan keperluan perancangan resolusi kepada bank-bank ahlinya. Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut urutan pelaksanaan perancangan pemulihan Bank Negara Malaysia (BNM), berpandukan prinsip perkadaran, bergantung pada saiz dan kerumitan bank.
PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi institusi ahlinya telah membangunkan rangka kerja polisi bagi Perancangan Pemulihan dan Resolusi (Recovery and Resolution Planning – RRP) bersama BNM untuk mengukuhkan persediaan krisis dan daya tahan institusi kewangan di Malaysia. Perancangan pemulihan yang diterajui oleh BNM memastikan bahawa bank dapat bertindak balas dengan efektif terhadap masalah kewangan dan mampu memulihkan daya maju semasa berdepan tekanan yang teruk. Perancangan resolusi yang diterajui oleh PIDM pula memastikan bank dapat diselesaikan dengan segera dan teratur tanpa menggugat sistem kewangan.
Pada tahun ini, NRS menampilkan sesi panel, kelas induk (masterclasses) dan perbincangan meja bulat melibatkan pihak berkepentingan dalam industri perbankan dan insurans. Pengerusi PIDM, Dato Sri (Dr) Zukri Samat, menyampaikan ucapan alu-aluan manakala ucap tama pada simposium tersebut pula disampaikan oleh Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia.
PIDM juga telah menerbitkan 25 kajian kes yang berlaku di peringkat global berkaitan resolusi bank dan syarikat insurans sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan perbincangan berkaitan perancangan resolusi. Orang awam berpeluang untuk memuat turun terbitan tersebut melalui laman web PIDM.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan peranan PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi, sila layari laman web PIDM.
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia